Jumaat, 20 November 2015

Pertama Kali

Salah satu makanan kegemaran saya sejak dari kecil iaitu Laksa Utara. Memang suka sangat makan laksa terutama yang diperbuat dari air tangan mak. Kalau makan memang sekurang-kurangnya dua mangkuk boleh habis.

Jadi minggu lepas entah mimpi apa, teringin sangat nak makan laksa. Bangun pagi setelah siap uruskan anak ke sekolah, saya pun keluar ke kedai runcit berdekatan rumah bersama si kecil mencari bahan-bahan yang diperlukan.

Pertama kali setelah berusia 36tahun maka terciptalah satu sejarah saya memasak laksa sendiri. Sebelum ini hanya tahu makan je. Bahan semua sudah tersedia tinggal satu langkah lagi sebelum memulakan operasi masak memasak iaitu dapatkan petua atau resepi dahulu.

Pertama kali 'Whatapps' mak minta resepi. Tiba-tiba telefon berdering, rupa-rupanya mak telefon semula sebab katanya susah nak 'explain' kalau guna 'Whatapps'. Mak bertanya 'siapa yang nak masak laksa ni?'. Sambil ketawa saya menjawab ' acik la nak masak. kenapa? tak percaya ke?'

Selepas mendapat semua petua, saya pun mulalah memasak.

Inilah hasilnya.



Alhamdulillah anak-anak suka, bertambah-tambah mereka makan. Sedap kot!

Inilah hasil 'PERTAMA KALI'...

Rabu, 18 November 2015

Tentang Saya

                                                         
Assalamualaikum & Selamat Sejahtera..........................................

Dengan lafaz ‘ Bismillahirrahmanirrahim….dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya memulakan bicara. Semoga di beri ilham dan buah fikiran untuk saya berkata-kata dan berkongsi ilmu yang tidak seberapa  di dalam penulisan blog ini dari masa ke semasa.
Alhamdulillah… Syukur kepada Allah swt kerana masih memberi pinjaman nafas ini juga memberi peluang kepada saya menginsafi diri serta terus menghayati dan mensyukuri keindahan alam ciptaan Tuhan yang Maha Luas ini.

Izinkan saya memperkenalkan diri. Nama saya Rozila Binti Ismail berasal dari Kampung Sungai Ara, Batu Kurau Perak. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Ara dan pendidikan menengah pula di Sekolah Menengah Dato’ Kamaruddin, Batu Kurau Perak (1991-1993) dan Sekolah Menengah Jelai, Batu Kurau Perak (1994-1996). Berjaya melanjutkan pelajaran di UiTM, Segamat Johor  sesi 1997-2000 dalam bidang Diploma Perakaunan.

Saya mendirikan rumahtangga pada 5hb Nov 2005 dan kini mempunyai  dua orang cahayamata, Muhammad Amirul Mukmin (9tahun) dan Nurul Iman Izzati (4tahun).

Bercerita mengenai pengalaman saya dalam dunia pekerjaan seperti menulis satu senarai yang agak panjang kerana bermacam-macam jenis pekerjaan saya pernah lakukan. Bermula sebagai Juruwang di Bintang Supermarket Puchong sebaik sahaja selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (1996). Selepas keputusan SPM di umumkan dengan meggunakan kelulusan yang ada saya mendapat pula pekerjaan di MBF Finance Berhad sebagai kerani bank. Setelah tiga bulan berkhidmat di bank tersebut saya mendapat panggilan untuk melanjutkan pelajaran di UiTM Segamat Johor.

Selepas berjaya menggenggam segulung diploma iaitu sekitar tahun 2000 persaingan ketika itu agak sukar jadi saya tidak memilih jenis pekerjaan asalkan Halal. Saya bekerja sebagai Operator Pengeluaran (QC) di Kilang Latex Manufacturing, Kemunting Perak . Kemudian saya bekerja sebagai Pembantu Am di sebuah pusat rekreasi di Gombak. Selepas tiga bulan saya dinaikkan pangkat sebagai Kerani Akaun. Tiga tahun kemudiannya saya sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Eksekutif Akaun & Kewangan. Tetapi ku sangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari, setelah empat tahun memegang jawatan tersebut dengan hati yang sedih terpaksa meninggalkan pusat rekreasi tersebut berikutan masalah kewangan yang di alami oleh syarikat. Saya pulang semula ke kampung halaman.

Setelah setahun tanpa pekerjaan iaitu pada pertengahan tahun 2008 saya berhijrah semula ke Sungai Buloh, Selangor dan mendapat pekerjaan sebagai Kerani Akaun di sebuah syarikat pembekal barang-barang aksesori dan servis kenderaan. Enam bulan berada di syarikat tersebut saya dapat pula peluang yang lebih baik di sebuah kilang membuat barang-barang binaan yang berhampiran sebagai Pembantu Akaun. 

Oleh kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu syarikat telah di ambil alih oleh pelabur asing dari Paris iaitu Saint-Gobain Weber. Kilang berpindah dari Kampung Baru Sungai Buloh ke Puncak Alam pada tahun 2012. Saya di hantar ke bahagian rantaian bekalan (Supply Chain Department) sebagai Pembantu Rantaian Bekalan berikutan bahagian perakaunan telah di urus oleh sumber luar. Pada Januari 2014 saya dinaikkan pangkat sebagai Eksekutif Rantaian Bekalan. Namun saya mengambil keputusan yang agak sukar dengan memohon Voluntary Separation Scheme (VSS) yang ditawarkan oleh syarikat pada Jun 2015 bukan kerana ekonomi sudah stabil tetapi saya merasakan bidang tugas saya tidak cekap atau tidak meningkatkan mutu kerja dan pengetahuan saya. Saya tidak di latih atau di ajar dengan ilmu dan kerja yang sepatutnya oleh ketua bahagian.

Tetapi itu bukanlah penyebab utama saya mengambil keputusan tersebut. Faktor serta sebab utama saya berhenti kerja adalah demi anak-anak buah hati saya dimana saya ingin menjaga mereka sejak dari kecil. Zaman kanak-kanak merupakan zaman mereka memerlukan perhatian ibubapa dan zaman itu akan berlalu dengan pantas tanpa kita sedar. Rugi kiranya kita tidak merebut peluang tersebut. Ianya takkan kembali dan akan berlalu pergi. Saya percaya rezeki ada dimana-mana asalkan kita usaha dan yakin dengan Allah swt.

Kini saya bergelar surirumah sepenuh masa di samping berjinak-jinak dengan bidang perniagaan dari rumah. Saya menjadi agen susu kambing Junn’s Dairy dan pengedar simkad Toneexcel juga merupakan agen Shaklee sejak tahun 2014.

Saya sebenarnya seorang yang suka memancing sejak zaman kanak-kanak lagi.  Bagi saya memancing dapat menguji tahap kesabaran, dapat menghayati keindahan alam ciptaan Tuhan serta merehatkan minda dan menenangkan fikiran. Jika ada masa terluang saya dan keluarga akan pergi memancing bersama kerana suami juga mempunyai hobi yang sama.

Matlamat saya adalah untuk mempelajari ilmu-ilmu perniagaan secara atas talian khususnya pemasaran serta kaedah-kaedah dan tips berniaga secara atas talian hanya dari rumah sehingga berjaya mempunyai perniagaan sendiri dan membantu surirumah-surirumah untuk mengorak langkah membina perniagaan dirumah. Saya juga ingin berkongsi apa sahaja ilmu yang saya ada mengenai perniagaan atas talian agar dapat membantu sesiapa sahaja yang tercari-cari peluang serta ruang bagi membantu keluarga untuk tambah pendapatan.

Begitulah serba sedikit mengenai diri saya. Semoga apa yang saya ingin kongsikan mendapat keberkatan daripada Allah swt dan memberi manfaat kepada semua.  In Shaa Allah. Amin.


Wassalam.