Salah satu makanan kegemaran saya sejak dari kecil iaitu Laksa Utara. Memang suka sangat makan laksa terutama yang diperbuat dari air tangan mak. Kalau makan memang sekurang-kurangnya dua mangkuk boleh habis.
Jadi minggu lepas entah mimpi apa, teringin sangat nak makan laksa. Bangun pagi setelah siap uruskan anak ke sekolah, saya pun keluar ke kedai runcit berdekatan rumah bersama si kecil mencari bahan-bahan yang diperlukan.
Pertama kali setelah berusia 36tahun maka terciptalah satu sejarah saya memasak laksa sendiri. Sebelum ini hanya tahu makan je. Bahan semua sudah tersedia tinggal satu langkah lagi sebelum memulakan operasi masak memasak iaitu dapatkan petua atau resepi dahulu.
Pertama kali 'Whatapps' mak minta resepi. Tiba-tiba telefon berdering, rupa-rupanya mak telefon semula sebab katanya susah nak 'explain' kalau guna 'Whatapps'. Mak bertanya 'siapa yang nak masak laksa ni?'. Sambil ketawa saya menjawab ' acik la nak masak. kenapa? tak percaya ke?'
Selepas mendapat semua petua, saya pun mulalah memasak.
Inilah hasilnya.
Alhamdulillah anak-anak suka, bertambah-tambah mereka makan. Sedap kot!
Inilah hasil 'PERTAMA KALI'...
Jumaat, 20 November 2015
Rabu, 18 November 2015
Tentang Saya
Assalamualaikum & Selamat Sejahtera..........................................
Dengan lafaz ‘ Bismillahirrahmanirrahim….dengan nama Allah
yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya memulakan bicara. Semoga di beri ilham dan buah fikiran untuk saya
berkata-kata dan berkongsi ilmu yang tidak seberapa di dalam penulisan blog ini dari masa ke
semasa.
Alhamdulillah… Syukur kepada Allah swt kerana masih memberi
pinjaman nafas ini juga memberi peluang kepada saya menginsafi diri serta terus
menghayati dan mensyukuri keindahan alam ciptaan Tuhan yang Maha Luas ini.
Izinkan saya memperkenalkan diri. Nama saya Rozila Binti
Ismail berasal dari Kampung Sungai Ara, Batu Kurau Perak. Saya mendapat
pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Ara dan pendidikan menengah pula
di Sekolah Menengah Dato’ Kamaruddin, Batu Kurau Perak (1991-1993) dan Sekolah
Menengah Jelai, Batu Kurau Perak (1994-1996). Berjaya melanjutkan pelajaran di
UiTM, Segamat Johor sesi 1997-2000 dalam
bidang Diploma Perakaunan.
Saya mendirikan
rumahtangga pada 5hb Nov 2005 dan kini mempunyai dua orang cahayamata, Muhammad Amirul Mukmin
(9tahun) dan Nurul Iman Izzati (4tahun).
Bercerita mengenai pengalaman saya dalam dunia pekerjaan
seperti menulis satu senarai yang agak panjang kerana bermacam-macam jenis
pekerjaan saya pernah lakukan. Bermula sebagai Juruwang di Bintang Supermarket
Puchong sebaik sahaja selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (1996).
Selepas keputusan SPM di umumkan dengan meggunakan kelulusan yang ada saya mendapat
pula pekerjaan di MBF Finance Berhad sebagai kerani bank. Setelah tiga bulan
berkhidmat di bank tersebut saya mendapat panggilan untuk melanjutkan pelajaran
di UiTM Segamat Johor.
Selepas berjaya menggenggam segulung diploma iaitu sekitar
tahun 2000 persaingan ketika itu agak sukar jadi saya tidak memilih jenis
pekerjaan asalkan Halal. Saya bekerja sebagai Operator Pengeluaran (QC) di
Kilang Latex Manufacturing, Kemunting Perak . Kemudian saya bekerja sebagai
Pembantu Am di sebuah pusat rekreasi di Gombak. Selepas tiga bulan saya
dinaikkan pangkat sebagai Kerani Akaun. Tiga tahun kemudiannya saya sekali lagi
dinaikkan pangkat sebagai Eksekutif Akaun & Kewangan. Tetapi ku sangka
panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari, setelah empat tahun memegang
jawatan tersebut dengan hati yang sedih terpaksa meninggalkan pusat rekreasi tersebut
berikutan masalah kewangan yang di alami oleh syarikat. Saya pulang semula ke kampung
halaman.
Setelah setahun tanpa pekerjaan iaitu pada pertengahan tahun
2008 saya berhijrah semula ke Sungai Buloh, Selangor dan mendapat pekerjaan
sebagai Kerani Akaun di sebuah syarikat pembekal barang-barang aksesori dan servis
kenderaan. Enam bulan berada di syarikat tersebut saya dapat pula peluang yang
lebih baik di sebuah kilang membuat barang-barang binaan yang berhampiran
sebagai Pembantu Akaun.
Oleh kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu syarikat
telah di ambil alih oleh pelabur asing dari Paris iaitu Saint-Gobain Weber.
Kilang berpindah dari Kampung Baru Sungai Buloh ke Puncak Alam pada tahun 2012.
Saya di hantar ke bahagian rantaian bekalan (Supply Chain Department) sebagai
Pembantu Rantaian Bekalan berikutan bahagian perakaunan telah di urus oleh
sumber luar. Pada Januari 2014 saya dinaikkan pangkat sebagai Eksekutif
Rantaian Bekalan. Namun saya mengambil keputusan yang agak sukar dengan memohon
Voluntary Separation Scheme (VSS) yang ditawarkan oleh syarikat pada Jun 2015
bukan kerana ekonomi sudah stabil tetapi saya merasakan bidang tugas saya tidak
cekap atau tidak meningkatkan mutu kerja dan pengetahuan saya. Saya tidak di
latih atau di ajar dengan ilmu dan kerja yang sepatutnya oleh ketua bahagian.
Tetapi itu bukanlah penyebab utama saya mengambil keputusan
tersebut. Faktor serta sebab utama saya berhenti kerja adalah demi anak-anak
buah hati saya dimana saya ingin menjaga mereka sejak dari kecil. Zaman
kanak-kanak merupakan zaman mereka memerlukan perhatian ibubapa dan zaman itu
akan berlalu dengan pantas tanpa kita sedar. Rugi kiranya kita tidak merebut
peluang tersebut. Ianya takkan kembali dan akan berlalu pergi. Saya percaya
rezeki ada dimana-mana asalkan kita usaha dan yakin dengan Allah swt.
Kini saya bergelar surirumah sepenuh masa di samping
berjinak-jinak dengan bidang perniagaan dari rumah. Saya menjadi agen susu
kambing Junn’s Dairy dan pengedar simkad Toneexcel juga merupakan agen Shaklee
sejak tahun 2014.
Saya sebenarnya seorang yang suka memancing sejak zaman
kanak-kanak lagi. Bagi saya memancing
dapat menguji tahap kesabaran, dapat menghayati keindahan alam ciptaan Tuhan
serta merehatkan minda dan menenangkan fikiran. Jika ada masa terluang saya dan
keluarga akan pergi memancing bersama kerana suami juga mempunyai hobi yang
sama.
Matlamat saya adalah untuk mempelajari ilmu-ilmu perniagaan
secara atas talian khususnya pemasaran serta kaedah-kaedah dan tips berniaga
secara atas talian hanya dari rumah sehingga berjaya mempunyai perniagaan
sendiri dan membantu surirumah-surirumah untuk mengorak langkah membina
perniagaan dirumah. Saya juga ingin berkongsi apa sahaja ilmu yang saya ada
mengenai perniagaan atas talian agar dapat membantu sesiapa sahaja yang tercari-cari
peluang serta ruang bagi membantu keluarga untuk tambah pendapatan.
Begitulah serba sedikit mengenai diri saya. Semoga apa yang
saya ingin kongsikan mendapat keberkatan daripada Allah swt dan memberi manfaat
kepada semua. In Shaa Allah. Amin.
Wassalam.
Langgan:
Catatan (Atom)